Tanda-tanda pemulihan negara kini semakin jelas – Muhyiddin

Jadikan 16 September pemangkin, titik permulaan kerjasama erat Keluarga Malaysia

0
422

PENGORBANAN dan semangat juang yang tinggi kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi wabak Covid-19 sepanjang tempoh dua tahun ini semakin menunjukkan hasilnya.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tanda-tanda l pemulihan negara yang dahulunya hanya samar-samar kini menjadi semakin jelas sepertimana yang telah ditunjukkan oleh perkembangan positif dalam usaha mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan pada awal tahun ini.

Bekas Perdana Menteri itu dalam perkongsian video di laman Facebook rasmi beliau hari ini berkata, perkembangan positif itu juga membolehkan aktiviti sosio-ekonomi digerakkan semula dan memangkinkan pemulihan ekonomi negara.

“Komitmen anda telah membantu Malaysia untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 dan merintis jalan ke arah pemulihan negara yang diidam-idamkan semua,” katanya.

Muhyiddin turut memberikan jaminan, sebagai pengerusi MPN beliau akan memastikan setiap perancangan untuk merancakkan semula semua aktiviti sosial ekonomi negara dilakukan secara teratur komprehensif dan lestari.

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, Hari Merdeka 2021 adalah satu sambutan yang istimewa kerana sepertimana yang pernah diumumkan beliau, tahun ini akan menjadi detik di mana negara akan keluar daripada belenggu pendemik dan bangkit semula.

Muhyidin juga dalam hantaran Facebook rasminya yang lain menyatakan, tarikh 16 September tahun ini adalah pemangkin dan titik permulaan kerjasama lebih erat sebagai Keluarga Malaysia.

Beliau yakin dan percaya, berbekalkan semangat perpaduan yang jitu serta kerjasama erat, negara akan berjaya keluar dari kemelut Covid-19 dengan selamat dan teratur.

Muhyiddin menegaskan, kerjasama erat sebagai Keluarga Malaysia kunci utama untuk membantu proses pemulihan ekonomi dan sosial negara

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia, pupuk dan semaikan semangat cintakan negara dalam diri setiap daripada kita. Wujudkanlah Malaysia yang prihatin, Malaysia yang cekal, Malaysia yang gagah.

“Berikrarlah pada diri sendiri, bahawa kita akan melakukan yang terbaik untuk Malaysia walau betapa getir cabaran yang kita tempuhi ketika pandemik.” nasihat beliau kepada semua rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Pagoh tersebut juga menasihati semua pihak untuk tidak berputus asa dalam peperangan menentang Covid-19 kerana usaha bersama yang telah dijalankan setakat ini sudah mula membuahkan hasil dan menunjukkan kejayaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here