Kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas keluar dari kereta bapa

0
243

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

TINDAKAN seorang bapa parkir kereta di tepi sungai membawa padah, apabila tanpa disedari anaknya yang berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas selepas dipercayai keluar dari kenderaan tersebut sebelum terjatuh di sungai Felda Jengka 4, Maran, tengah hari semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman, kanak-kanak malang itu, Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta berkenaan pada pukul 1 tengah hari, selepas15 minit bapanya meninggalkan dia berseorangan di situ.

Menurut Norzamri, bapa mangsa mendakwa meninggalkan anaknya di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka.

“Apabila menyedari mangsa tiada, dia bertanya kepada kakak dan abang mangsa yang berusia enam dan lapan tahun, sebaliknya mereka juga tidak menyedari bila mangsa keluar dari kereta,” ujarnya ketika dihubungi media hari ini.

Sehubungan itu kata Norzamri, mereka cuba mencari mangsa di lokasi berhampiran sebelum bapa mangsa mendakwa menjumpai kesan tapak kaki anaknya itu di tepi sungai, lalu dia mengesyaki anaknya terjatuh di situ.

Norzamri memberitahu, sungai itu terletak di dalam ladang kelapa sawit, iaitu sekitar tiga kilometer dari jalan utama.

Katanya, bapa mangsa kemudian meminta bantuan orang kampung mencari anaknya di sungai sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada polis pada pukul 4 petang.

Sebaik menerima laporan ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan membabitkan polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, sebelum dihentikan pada 8 malam ekoran cuaca mulai gelap.

Beliau berkata, operasi SAR disambung pagi ini dengan turut melibatkan anjing pengesan untuk mencari jejak akhir mangsa sama ada di sungai atau di hutan berhampiran,” jelas beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here