KERAJAAN bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JPBP yang dipengerusikan oleh beliau pada 13 September lepas.
Beliau berkata, pemberian bantuan itu adalah antara pendekatan baharu kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi MTL yang dijangka berlaku pada awal November ini hingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak.
“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.
“Inisiatif BWI ini dijangka akan meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.