[VIDEO] Pandu lawan arus semakin menjadi-jadi, tiga kes dalam 14 hari. Ini kompilasi kes

0
381

KEBELAKANGAN ini, terdapat banyak kemalangan yang melibatkan pemanduan secara merbahaya terutamanya kes pandu lawan arus.  

Pemanduan secara merbahaya ini seringkali mecederakan individu yang tidak bersalah malah ada juga yang meninggal gara-gara kecuaian individu yang tidak bertanggungjawab ini.

Tengah malam tadi, polis telah menahan seorang lelaki kerana didapati memandu lawan arus di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata berdasarkan hasil ujian, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah malam berhubung sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna emas dikesan dipandu secara lawan arus di lebuh raya berkenaan.

Tambah beliau lagi, hasil pemeriksaan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah, namun memiliki tiga rekod saman trafik kerana terbabit kes kemalangan sebelum ini.

Katanya, suspek memberi kerjasama dalam siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis dan tiada kemalangan dilaporkan berlaku dengan beberapa kenderaan lain dilihat berjaya mengelak kereta suspek yang dipandu di lorong kanan lebuh raya itu.

Selain itu, pada 12 september lepas, sebuah pikap yang didapati dipandu melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua orang di Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian itu, Mitsubishi Triton dipandu secara melawan arus oleh suspek berumur 24 tahun itu dari Kuala Lumpur ke Klang sebelum bertembung Proton Wira mangsa dari Klang ke Kuala Lumpur.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian adalah pemandu, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19.

Baharudin turut berkata, pemandu pikap yang positif dadah jenis ganja itu direman sehingga 17 September ini.

Sementara itu, semalam Polis telah menahan pemandu Perodua Myvi kelabu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 4 September lalu dan dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM8,000.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata pada 4 September lalu, pemandu Perodua Myvi tersebut memandu melawan arus di MEX, menghala ke Putrajaya, menyebabkan kemalangan sebuah kereta lain yang cuba mengelak.

Sarifuddin turut menyatakan bahawa lelaki berkenaan yang bekerja sebagai ejen insuran itu dituduh di bawah Seksyen 42(1)1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Katanya, pemandu kenderaan motokar tersebut mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama tiga hari dan denda RM8,000. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here