KEHILANGAN barang kesayangan memang tidak menenangkan lagi-lagi apabila barang yang hilang itu merupakan barang yang berharga.
Baru-baru ini tular seorang wanita di Facebook yang dikenali sebagai Rus Majida Hassan yang menceritakan tentang kehilangan 3 pokok kesayangannya yang bernilai RM50,000 semalam di Terengganu.
Menerusi satu hantaran tersebut, wanita itu turut memperincikan setiap nama tanamannya yang dikenali sebagai Monstera Aurea Marble, Monstera Albo Halfmoon dan Monstera Albo Marble,
Mengulas lebih lanjut, wanita ini menjelaskan dia juga mengenali pokok-pokok tersebut berikutan corak khas dan saiz pokok tersebut yang mustahil untuk dimiliki oleh orang lain.
“Saya amat mengenali pokok saya berikutan corak khas dan saiz pokok tersebut tidak dimiliki oleh orang lain,
“Pokok ini tiada dijual di nurseri biasa dan saiz pokok yang dicuri sangat sukar didapati,” katanya.
Pada masa yang sama, wanita itu turut memohon bantuan daripada orang ramai supaya si pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Tolong bantu saya untuk dapatkan semula pokok-pokok ini dan agar saya dapat membawa si pencuri ke muka pengadilan.” katanya lagi.
Difahamkan juga, pokok-pokok itu telah dibela hampir tiga tahun bagi mencapai saiz yang diinginkan dan perkara tersebut membuatkan pokok-pokok tersebut mudah dicam oleh pemiliknya.
Wanita tersebut juga sempat memberikan kata-kata amaran kepada si pelaku supaya memulangkan pokok-pokok tersebut dan berdoa agar pokok itu tidak hidup subur di tangan si pelaku.
“Kepada si pelaku sekiranya anda membaca tulisan saya, sila pulangkan pokok saya seperti sedia kala atau saya tidak akan memaafkan anda dunia akhirat dan berdoa agar anda menerima balasan yang setimpal dunia akhirat,
“Saya juga doakan pokok tersebut tidak akan hidup subur di tangan anda, sungguh saya tidak redha dengan perbuatan anda yang menceroboh kawasan rumah dan mencuri pokok-pokok kesayangan saya. Bertaubatlah!” Ujarnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.