Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Buka sekolah berperingkat petunjuk masuk fasa endemik -

Buka sekolah berperingkat petunjuk masuk fasa endemik

PEMBUKAAN sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober ini mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri memberi gambaran bahawa negara kini sedang bergerak ke peringkat endemik.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pendekatan secara berfasa itu juga menunjukkan bahawa negara akan kembali kepada keadaan sediakala.

“Dalam konteks fasa PPN ini, kita sedang bawa negara kembali kepada keadaan sedia kala dengan memastikan tatacara dan peraturan yang kita bawa itu dapat dipatuhi dan sekolah dapat dibuka dengan selamat,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini, hari ini.

Mengenai mesyuarat bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, beliau berkata ia bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pembukaan sekolah dapat dilaksanakan dengan baik, lancar dan teratur.

Katanya perancangan itu penting sebagai tekad semua pihak untuk memastikan keselamatan semua pihak terutama murid apabila sekolah dibuka kelak.

Pada Ahad, Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan bilangan dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.

Pengoperasian sekolah secara bersemuka bermula di Fasa Dua PPN dengan pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober.

Ditanya mengenai tindakan terhadap guru yang memilih untuk tidak divaksin beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan akan diumumkan kemudian.

“Kita lihat jumlah yang memilih tidak divaksin sedikit iaitu sekitar 2,500 orang dan kita akan pastikan mereka tidak akan mengajar secara bersemuka namun akan diberi tugas lain dan pasti akan ada tindakan diambil terhadap mereka,” katanya.