Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) semalam melakar sejarah apabila julung kali memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.
Penganalisis politik berpendapat, persetujuan dwi partisan itu dilihat sebagai perkara yang dapat meredakan suhu politik yang banyak mengganggu perancangan kerajaan sebelum ini dan mengembalikan kestabilan ekonomi negara.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, usaha itu sekali gus memastikan kestabilan politik negara dalam menghadapi fasa endemik tidak lama lagi.
“Saya percaya ini bukan sahaja gencatan politik, tetapi juga merupakan satu perdamaian politik antara blok kerajaan dan pembangkang,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, langkah menerusi MoU itu juga akan mempengaruhi keyakinan kalangan pelabur dalam pasaran saham yang sebelum ini mengalami prestasi tidak menentu akibat ketidakstabilan politik dalaman negara.
“Ia turut dijangka mengembalikan kestabilan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 di samping mewujudkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan pelabur malah rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Pada pandangan saya, sukar untuk mana-mana kerajaan membuka ruang dan menghulurkan salam perdamaian politik. Ini menunjukkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri sangat terbuka, komited dan mengutamakan suara rakyat,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, dengan cara itu hal kepentingan rakyat dapat dibangunkan secara mikro melalui percambahan idea daripada kedua belah pihak.
“MoU ini dapat menyatukan suara dari blok kerajaan dan pembangkang menjadi mercu tanda kepada pentadbiran yang bersifat mikro serta mengutamakan kepentingan rakyat enam perkara terangkum dalam MoU itu mesti dianalisis secara terperinci dan perinciannya harus dimaklumkan kepada rakyat,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Bagaimanapun, Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Hamidin Abd Hamid berpandangan, berdasarkan tujuh perkara yang dipersetujui dalam MoU tersebut, ia tidak membawa maksud Pembangkang hanya akan menuruti apa yang dilakukan Kerajaan, kerana masih banyak perkara dalam urus tadbir yang disemak.
“Adakah ini berakhir era pembangkang? Adakah pembangkang akan turut serta dalam apa saja kerajaan? Saya rasakan ia tidak harus bersifat demikian, Parlimen harus terus menjadi wadah untuk kita lakukan semak dan imbang,” katanya kepada Astro Awani. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.