Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kemasukan fizikal ke IPT secara berperingkat mulai 15 Oktober -

Kemasukan fizikal ke IPT secara berperingkat mulai 15 Oktober

KEMASUKAN pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini.

Beliau berkata ia melibatkan pelajar yang telah lengkap vaksinasi COVID-19, merangkumi semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Melalui proses kemasukan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT, Noraini berkata selain pelajar, hanya staf yang telah lengkap vaksinasi COVID-19 serta melepasi tempoh keberkesanan vaksin dibenarkan untuk berada di kampus.

“Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa Empat PPN di dalam kampus.

“Jadinya, SOP ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk,” katanya pada sidang media secara maya melalui Facebook rasmi Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Noraini berkata, sebahagian besar daripada keseluruhan 1.2 juta pelajar IPT telah menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian melebihi tiga semester berturut-turut ekoran pandemik COVID-19 dengan aspek keselamatan dalam pengoperasian IPT amat dititikberatkan.

Katanya, keputusan kemasukan secara fizikal dibuat setelah mengambil kira input daripada sesi libat urus bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pengurusan IPT merangkumi naib canselor, timbalan naib canselor, wakil persatuan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Majlis Perwakilan Pelajar serta kesatuan dan persatuan pelajar IPT.

Noraini dalam sidang media itu turut mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di universiti awam bagi semester satu sesi 2021/2022, yang bakal memanfaatkan 555,340 pelajar melibatkan RM175 juta. – BERNAMA