ENAM buah helikopter jenis MD-530G yang akan dioperasikan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sedang dalam peringkat pemeriksaan prapenghantaran (PDI), sebelum mula digunakan secara rasmi, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Beliau berkata, proses PDI helikopter buatan McDonnell Douglas berkenaan adalah bagi memastikan aspek teknikal dan spesifikasi dipatuhi sepenuhnya, bagi pengoperasiannya kelak yang bertujuan mengukuhkan lagi mobiliti udara TDM.
“Berdasarkan kepada kontrak perolehan, semua pesawat helikopter terbabit dijangka sampai ke Malaysia pada akhir tahun ini,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira ATM, di sini pada Selasa.
Pada Februari lepas, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyatakan Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menerima helikopter buatan McDonnell Douglas bernilai RM321.9 juta itu, pada bulan Ogos tahun ini.
Mengulas mengenai perkembangan latihan komprehensif di prermis MD Helicopter Inc di Arizona, Amerika Syarikat bagi juruterbang dan juruteknik, Affendi berkata ATM telah menghantar seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik, untuk menjalani latihan berkenaan pada 24 April hingga 13 Ogos lepas.
“Latihan berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran juruterbang dalam pengendalian sistem persenjataan, penerbangan taktikal dan latihan menembak pesawat, manakala latihan kru untuk penyelenggaraan pesawat, enjin dan persenjataan,” katanya.
Dalam pada itu, Affendi berkata sejumlah lapan syarikat pengeluar telah menyatakan minat membida tender perbekalan jet latihan penggempur/jet tempur ringan (FLIT-LCA) yang telah diiklankan pada 22 Jun lalu.
“Di antara pesawat yang terlibat adalah PAC JF-17 keluaran Pakistan Aeronautical, Hongdu L15B keluaran China National Aero-Technology, M-346 keluaran Leonardo dari Itali, Yak-130 keluaran Irkut Corporation dari Rusia dan T-7 Red Hawk keluaran Boeing dari Amerika Syarikat.
“Tender dijadualkan akan ditutup pada 22 September depan dan proses tender itu masih sedang berjalan,” katanya. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.