Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
21 kes varian Delta, Beta di Terengganu, menular hampir semua daerah -

21 kes varian Delta, Beta di Terengganu, menular hampir semua daerah

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

KADAR jangkitan varian ganas (VOC), Delta dan Beta di Terengganu semakin membimbangkan apabila sebanyak 21 kes telah direkodkan menular di negeri ini sehingga semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi catatan dalam facebook rasminya hari ini memaklumkan daripada jumlah tersebut, 12 kes yang direkodkan adalah membabitkan varian Delta (B.1.617.2) manakala sembilan kes lagi ialah varian Beta (B.1.351).

Menurut JKNT, apa yang membimbangkan, peningkatan kes juga kini dipercayai menular hampir melibatkan kesemua daerah di negeri ini.

Sehubungan itu, JKNT meminta orang ramai di negeri ini agar lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan perkembangan tersebut.

Malah, mengikut catatan itu, setakat ini hanya daerah Kuala Nerus belum merekodkan kes varian VOC.

“Terkini, Terengganu telah melaporkan sebanyak 21 kes VOC yang melibatkan 12 kes delta dan sembilan kes beta dengan lima kes di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu (empat), Besut (empat), Marang (tiga), Kemaman (dua), Dungun (dua) dan Setiu (satu).

“Besar kemungkinan varian berkenaan telah menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah dengan sekurang-kurangnya satu jenis VOC dilaporkan di seluruh daerah kecuali daerah Kuala Nerus,” jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, JKNT menasihati setiap masyarakat mengambil serius terhadap penularan tersebut.

“Fakta yang sangat penting dan perlu diambil serius oleh setiap rakyat Terengganu adalah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah-ubah.

“Walaupun individu telah mengambil vaksin, mereka masih belum kebal sepenuhnya. Jangan leka kerana anda masih perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di mana jua anda berada,” tulisnya.

Dalam pada itu, JKNT juga memberitahu, pengambilan vaksin akan dapat membendung seseorang itu daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

Tambahnya, JKNT akan terus memantapkan aktiviti kawalan seperti memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak rapat dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian berkenaan dalam komuniti.

“Orang ramai diminta mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pada tahap tinggi terutama melibatkan penjarakan fizikal bagi mengekang penularan virus berkenaan.

“Selain itu, kita juga perlu sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan tangan dan diri serta langkah kesihatan lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti,” terangnya. – SB