SETELAH lebih sebulan menanti, pelawak dan usahawan terkenal, Shuib akhirnya dibenarkan untuk berjumpa dengan anak bongsunya, Ayyash Affan, hari ini yang masih berada dalam pemantauan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan kelahiran pra-matang sebelum ini.
Menerusi satu hantaran di akaun Instagram Story miliknya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad memanjatkan rasa syukur apabila dibenarkan bertemu dengan anaknya buat kali pertama pada Isnin.
Lebih manis lagi, berita gembira itu disampaikan pada hari ulang tahun kelahirannya.
“Alhamdulillah, di hari kelahiran, Allah hadiahkan berita gembira, esok dah boleh ke hospital tengok Ayyash Affan” katanya.

Sehubungan itu, dia juga memberitahu akan menjaga anak-anaknya dengan didikan agama yang sempurna seperti mana Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin harapkan.
“Alhamdulillah hari ini jumpa Ayash Affan. Masih ingat lagi ibu selalu cakap perkara yang sama berulang kali, ‘baby yang ke-4 ini awak jaga dia tau, jaga tau, awak jaga okey.
“InsyaAllah sayang, saya akan menjaga dia macam mana saya jaga awak sampailah dia menjadi anak yang soleh. Anak yang akan menjadi kebanggaan awak dunia dan akhirat.
“Anak yang selalu dekat dengan Allah, cuma saya mohon awak doakan saya. Perjalanan saya masih jauh, doakan saya selalu kuat. Saya sayang awak,” luahnya lagi.

Menerusi Instagram story Shuib lagi, dia meluangkan masa selama 3 jam bersama Ayyash Affan dan memaklumkan anak bongsunya itu semakin sihat dan beratnya kini sudah mencecah 2.6kg.

Terdahulu, Ayash yang lahir pra-matang pada 6 Ogos lalu sudah dikeluarkan daripada inkubator di HCTM, Cheras, Kuala Lumpur.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.