Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
‘Bukan diculik tapi pesakit kritikal, tahap oksigen menurun’ -

‘Bukan diculik tapi pesakit kritikal, tahap oksigen menurun’

SEORANG Pesakit Covid-19 yang mendakwa dirinya ‘diculik’ dan ‘dipaksa’ berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini disahkan masih menjalani rawatan di ICU memandangkan keadaannya yang kritikal dan berisiko menyebarkan virus itu sekiranya dibenarkan pulang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Ma’arof Sudin berkata, pesakit itu telah dimasukkan ke wad ICU selepas disahkan mengalami Covid-19 tahap empat.

“Pemeriksaan awal menunjukkan pesakit mengalami penurunan tahap oksigen yang sangat membimbangkan dan rawatan terapi oksigen telah dimulakan.

“Keadaan pesakit semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah hanya boleh distabilkan dengan menggunakan mesin bantuan pernafasan iaitu ventilator,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam mengenai seorang pesakit Covid-19 di ICU HPP yang mendakwa dirinya diculik dan dipaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan walaupun keadaan kesihatannya stabil.

Tambah beliau, pegawai perubatan pakar perubatan rapi dan ICU telah memaklumkan kepada pesakit serta ahli keluarganya mengenai keadaan pesakit yang berada pada tahap kritikal.

“Pihak hospital juga telah berulang kali menjelaskan kepada pesakit serta ahli keluarga mengenai risiko yang boleh membahayakan dirinya sekiranya dia tidak membenarkan rawatan dijalankan.

“Namun pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang disyorkan dan memohon untuk dibenarkan pulang atas risiko sendiri,” katanya.

Tambahnya, pihak hospital masih memantau dan menempatkan pesakit di ICU walaupun dia enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan pernafasan memandangkan keadaannya yang kritikal.

Dalam pada itu, katanya, pihak HPP juga menafikan bahawa pesakit tidak diberi makanan ketika berada di ICU kerana pihaknya memberikan makanan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan penghadaman dan mengelakkan berlakunya komplikasi.