Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) untuk mengembalikan kestabilan politik negara pada Ahad.
MoU yang akan ditandatangani oleh semua pihak terbabit pada pukul 5 petang Isnin 13 September di Dewan Bankuet, Parlimen itu adalah persetujuan bersama bagi menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara menerusi pendekatan ‘dwi-partisan’.
Perkara ini diumumkan melalui satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh wakil-wakil kerajaan dan PH selepas kedua-dua belah pihak mengadakan beberapa siri rundingan.
“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban,” kata kenyataan bersama kerajaan dan PH, malam ini.

Mengikut kenyataan itu, wakil kerajaan yang menyertai rundingan berkenaan adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Wakil PH pula adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik itu akan ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti dalam PH di Dewan Bankuet, Parlimen pada jam 5 petang.
Ketua-ketua parti PH yang dimaksudkan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.