PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sudah menyatakan hasrat meletak jawatan dalam mesyuarat Ahli Lembaga pada Khamis lalu.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata kepada BH Online, Ahli Lembaga FINAS bersetuju melepaskan Ahmad Idham dan menyokong penuh perjalanan kerjaya seterusnya.
“Perasaan kami tentulah sedih dan gembira seperti dinyatakan dalam mesyuarat Ahli Lembaga FINAS.
“Sedih kerana terpaksa melepaskan ketua komandan, tentulah rasa kehilangannya. Kami berjuang bersama dalam membantu menggerakkan dan membangunkan industri seni kreatif pada era pandemik.
“Terlalu banyak agenda dirancang dan dilaksanakan. Walaupun antaranya masih tertangguh dan baru hendak bermula disebabkan penularan serta peningkatan kes COVID-19,” katanya.
Zakaria mengulas khabar angin mengenai Ahmad Idham akan beralih ke kementerian lain menerusi ruangan Desas Desus dalam sisipan B*POP, BH, hari ini.
Desas-desus mengatakan Ahmad Idham akan menyandang jawatan penting di sebuah kementerian bertaraf diplomat.
Difahamkan, tugasan baharu Ahmad Idham masih berkaitan dunia seni, kreatif dan budaya.
Namun, tugasan lebih mencabar apabila membawa budaya, muzik dan filem ke mata dunia. – SB