[VIDEO] Masjid Putra respon dakwaan layanan ‘double standard’, kuota 300 orang

PENGURUSAN Masjid Putra, Putrajaya menafikan bersikap pilih kasih ketika membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat dan solat fardu, sebaliknya menegaskan pemilihan jemaah dibuat berdasarkan kuota serta mengikut arahan ditetapkan.

“Ingin dijelaskan bahawa pengurusan kehadiran jemaah di Masjid Putra sama ada solat fardhu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. 

“Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di Masjid Putra ditetapkan seramai 300 orang,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas video yang tular di media sosial mendakwa VVIP mendapat layanan khas tanpa perlu beratur untuk masuk ke masjid. 

Berdasarkan rakaman video itu, kelihatan beberapa individu berada di luar pagar masjid kerana tidak dibenarkan masuk, namun sebaik saja VVIP itu tiba, beliau terus dibenarkan masuk.  Difahamkan, VVIP itu adalah antara 300 nama awal yang sudah mengisi kuota untuk menunaikan solat Jumaat. 

Dalam pada itu, pihak pengurusan juga menjelaskan bahawa peruntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang sudah mendaftar lebih awal serta makluman jangkaan waktu ketibaan di masjid telah ditetapkan.

“Tidak dapat dinafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang telah ditetapkan sejak jam 11.00 pagi untuk menunaikan solat Jumaat.

“Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid. 

“Pihak masjid memaklumkan dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut,” katanya.

Walau bagaimanapun bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pengurusan akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan serta kualiti pengurusan masjid untuk jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan. – SB