Aliran masuk modal pelabur asing RM7.7 bilion petanda pemulihan ekonomi

MALAYSIA terus mencatat aliran masuk bersih modal pelabur asing dengan Ogos lalu mencatatkan RM7.7 bilion, nilai tertinggi sejak Jun 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata nilai itu juga mengimbangi aliran keluar bagi tempoh dua bulan sebelumnya.

“Aliran masuk bersih dana asing ini didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam.

“Selain itu, ia juga membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

  • “Ini menetapkan nada dan hala tuju bagi pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh untuk suku keempat 2021 (S4 2021),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, walaupun tinjauan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan cabaran oleh peningkatan kadar jangkitan berterusan, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes COVID-19 yang kritikal dijangka akan mendorong pertumbuhan.

Katanya, beberapa negeri yang beralih ke Fasa Dua dan Tiga PPN, termasuk Lembah Klang yang beralih ke Fasa Dua mulai semalam, akan membolehkan pembukaan ekonomi lebih meluas bagi negeri populasi padat.

“Prospek pertumbuhan yang lebih baik itu mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia.

“Pelabur asing menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon ringgit berjumlah RM6.6 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion) dan RM1.1 bilion (Julai 2021: -RM1.3 bilion) bagi pasaran ekuiti negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sejak Jun 2019, Ogos lalu adalah bulan pertama mencatat pembelian bersih oleh pelabur asing di pasaran ekuiti Malaysia dengan penjualan bersih atau aliran keluar pelabur asing semakin berkurangan.

Beliau berkata, daripada segi pasaran bon ringgit, aliran masuk pelabur asing pada Ogos 2021 tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang bernilai RM3.1 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion); dan terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sejumlah RM3.2 bilion (Julai 2021: RM425 juta).

“Sehingga akhir Ogos lalu, pegangan pelabur asing bagi bon kerajaan meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion.

“Setakat akhir Jun lalu, lebih daripada 50 peratus pegangan bagi bon kerajaan Malaysia dipegang oleh pelabur jangka panjang seperti pelbagai bank-bank pusat dan kerajaan (32.4 peratus); selain 18.4 peratus dana persaraan dan 2.2 peratus syarikat insurans,” katanya.

Beliau berkata, prospek untuk suku ketiga 2021 dijangka akan terus mencabar susulan Fasa Satu PPN yang berpanjangan bagi beberapa negeri seperti Selangor yang menjadi penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Bagaimanapun katanya, ini dijangka akan ditampung oleh kelonggaran sekatan bagi rakyat yang lengkap divaksin, serta negeri yang berjaya beralih ke Fasa Dua dan Tiga PPN.

“Bagi suku keempat tahun 2021, prospek dijangka akan lebih cerah kerana kadar vaksinasi yang terus dipertingkatkan akan membolehkan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi.

“Ini akan meningkatkan prospek peningkatan penggunaan dari permintaan terpendam isi rumah dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akhir bulan ini dan Belanjawan 2022 pada akhir Oktober akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar kerajaan dan membuka jalan kepada pemulihan, pertumbuhan dan penyusunan semula sosio-ekonomi bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Kami menjangkakan momentum pemulihan pada suku keempat akan diteruskan pada tahun hadapan, yang mana faktor kepada pertumbuhan negara akan memanfaatkan pertumbuhan KDNK 2022 Malaysia, yang diunjurkan akan berada pada paras enam oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), dan lima peratus oleh Bank Dunia,” katanya.