rentas negeri

‘Terima kasih barisan hadapan jayakan SJR’- Ismail Sabri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada semua anggota penguat kuasa yang membantu operasi sekatan jalan raya di Lembah Klang.

Ia membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penguat kuasa lain yang ditugaskan memantau sekatan jalan raya.

Penghargaan itu dimaklumkan Perdana Menteri melalui ciapan di Twitternya susulan peralihan status Lembah Klang daripada Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut menzahirkan penghargaan kepada anggota ditugaskan bagi memantau sekatan jalan raya yang masih beroperasi di seluruh negara.

“Pengorbanan dan jasa semua amatlah dihargai oleh saya dan rakyat Malaysia.

“Terima kasih barisan hadapan Keluarga Malaysia,” katanya, hari ini.

Ciapan berkenaan turut disertakan tanda pagar #KeluargaMalaysia dan #BekerjaBersamaRakyat.