Rakyat Malaysia berpeluang mohon skim Biasiswa Ayush

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Rakyat Malaysia yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan Tradisional India di India boleh memohon Skim Biasiswa AYUSH 2021-22, menurut Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia.

Biasiswa itu ditawarkan untuk sesi akademik tahun ini, antaranya untuk peringkat sarjana muda dalam bidang ‘Ayurveda Medicine & Surgery’, ‘Siddha Medicine & Sciences’, ‘Unani Medicine & Surgery’ dan ‘Homeopathy Medicine & Surgery’.

“Turut ditawarkan untuk Sarjana Muda Sains Yoga, Sarjana Muda Sastera Yoga Shastra, Pascasiswazah Ayurveda, Doktor Falsafah (PhD) Ayurveda dan Doktor Falsafah (PhD) Yoga,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Biasiswa tersebut termasuk yuran pengajian, elaun sara hidup, geran kontinjen, elaun sewa rumah dan tiket kapal terbang. 

Borang permohonan diisi secara dalam talian dan dihantar di portal ‘A2A Scholarship’ (http://a2ascholarships.iccr.gov.in)  selewat-lewatnya pada 30 September 2021.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Bahagian Pendidikan, Suruhanjaya Tinggi India, Kuala Lumpur. (Tel: 03 4024 1010 ext 465, e-mel: [email protected]).

— BERNAMA

TAG: AYUSH, biasiswa, perubatan tradisional India
VSS RV SASM NUH

Friday , 10 September 2021