[VIDEO] Pengundi Melayu utamakan kelangsungan hidup: Ilham Centre

PENGUNDI Melayu mengutamakan kelangsungan hidup berbanding reformasi institusi walaupun terbuka dengan idea tersebut, menurut kajian dilakukan badan tinjauan bebas, Ilham Centre.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, hasil kajian menunjukkan reformasi institusi adalah dominan kepada aspek ekonomi dan pendidikan berbanding yang lain.

“Isu ‘bread and butter’ mengatasi segalanya. Pertimbangan utama orang Melayu dalam memilih pilihan yang ada dalam hidup, mereka akan utamakan aspek kelangsungan hidup mereka,” katanya pada satu sidang media secara dalam talian hari ini.

“Jika merujuk kepada agenda seperti reformasi institusi Parlimen, kerajaan pentadbiran, kehakiman, media, pilihan raya dan lain-lain, tema itu terlalu jauh dari kehidupan mereka.”

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan menerusi maklum balas kaji selidik terhadap 1,262 responden Melayu yang dipilih secara persampelan rawak berstrata serta 93 peserta yang terlibat dalam perbincangan kumpulan.

Bagaimanapun Ilham Centre tidak mengadakan kajian sama terhadap pengundi bukan Melayu bagi mengetahui sentimen mereka terhadap isu berkaitan reformasi institusi.

Merujuk kepada soalan institusi paling utama perlu dilakukan pembaharuan, Hisommudin berkata, 32% responden berpendapat fokus harus diberikan kepada ekonomi dan pendidikan diikuti urus tadbir kerajaan (27%), Parlimen (13%), kehakiman (7%) dan lain-lain (12%).

“Ini diperkukuhkan lagi apabila 31% responden berpendapat bahawa pembaharuan yang perlu diberi keutamaan pada waktu ini ialah merangka strategi membasmi kemiskinan dan menangani kos sara hidup rakyat.

“Ia diikuti dengan 29% responden berpendapat bahawa keutamaan perlu diberi terhadap meningkatkan kembali ekonomi rakyat,” katanya.

Sementara itu menerusi sidang media yang sama, Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof. Madya Dr. Hamidin Abd. Hamid berkata, ketika era Pakatan Harapan (PH), sememangnya ada agenda reformasi institusi ini tetapi ia tidak sampai.

“PH syok sendiri, walaupun agenda reformasi institusinya terkehadapan, ia tidak sampai kepada golongan bawah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat meletakkan keupayaan kepada pentadbiran Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih daripada PH.

“Rakyat khususnya orang Melayu meletakkan kepercayaan kepada pentadbiran selepas PH ini di mana banyak perkara boleh dicapai.

“Orang Melayu yang merupakan etnik terbesar di Malaysia lebih menumpukan kepada isu yang dekat dengan mereka seperti ekonomi dan pendidikan dan bukannya isu-isu nasional yang ada hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim berkata, beberapa perubahan perlu dilakukan dengan memastikan agenda ini tidak akan melebihkan parti-parti sebaliknya terus kepada rakyat.

“Melihat kepada dapatan itu, kita tahu isu nasional bukan menjadi fokus utama orang Melayu.

“Mereka lebih memikirkan isu pendidikan, ekonomi, sara hidup dan lebih penting adalah membasmi kemiskinan,” katanya dalam sidang media yang sama. – SB