Pemilik kedai cedera, barang kemas lebih RM200,000 lesap

0
247

SEORANG pemilik sebuah kedai emas bukan sahaja kerugian lebih RM200,000 malah cedera di bahagian muka selepas premisnya disamun tiga lelaki di Simpang Tiga, Batu 6, Gombak di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, tiga lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh telah menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut.

Beliau berkata seorang daripada suspek menunggu di pintu masuk utama premis sambil memegang sebilah parang manakala dua lagi mengambil pelbagai jenis barang kemas di bahagian rak pameran.

“Seorang daripada suspek juga menumbuk bahagian muka mangsa sebelum kesemua mereka melarikan barang kemas dengan menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha Y15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketika kejadian, pemilik premis yang juga wanita warga Indonesia berstatus pemastautin tetap berada bersama anak dan adik iparnya di dalam kedai tersebut.

Zainal Mohamed berkata polis sedang giat mengesan kesemua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata.

Video kejadian itu yang berdurasi seminit turut tular di media sosial hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here