Kes bunuh diri meningkat 143 peratus

0
265

JUMLAH kes bunuh diri di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 143 peratus atau 638 kes dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding 262 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, peningkatan kes itu juga dilihat pada 2020 dengan 631 kes, berbanding 609 kes pada 2019.

“Sehingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun, dengan purata 1 kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

“Pada 2019, satu dalam 100 kematian (1.3%) adalah disebabkan bunuh diri,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Hisham berkata, masyarakat di Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak kesihatan mental akibat situasi pandemik Covid-19.

Katanya, faktor sosial yang menyebabkan stres terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri, rancangan bunuh diri , cubaan bunuh diri dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya lagi.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan inisiatif untuk menangani tingkah laku bunuh diri iaitu pengukuhan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial, sokongan terhadap usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri dan advokasi kempen ‘Let’s TALK Minda Sihat’. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here