Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Anjing peliharaan cederakan kanak-kanak: ibu tunggal mengaku bersalah -

Anjing peliharaan cederakan kanak-kanak: ibu tunggal mengaku bersalah

SEORANG ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Taiping, Perak hari ini atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak perempuan, Julai lalu.

K. Saroja Devi, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir.

Mengikut pertuduhan, Saroja Devi didakwa cuai sehingga menyebabkan haiwan peliharaannya mencederakan Nurilmi Natrah Mohd Muzri, 12, di hadapan sebuah rumah di Lorong Satu, Kampung Larut Tin Sambungan di sini kira-kira pukul 5 petang pada 10 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Faakihin Ahmad Fauzi manakala Saroja Devi diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah.

Nur Faakihin menawarkan jaminan RM2,000 tetapi Siti Hajar memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM500 kerana tertuduh yang hanya mengambil upah sebagai tukang masak, mempunyai tujuh orang anak berusia lingkungan 11 hingga 22 tahun.

Mahkamah menetapkan 25 Okt untuk menunggu hasil laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman dan ibu tunggal itu dibenar diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin. BERNAMA