Polis rampas syabu RM10.9 juta di Tawau

0
488

POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas 303.15kg dadah jenis syabu bernilai RM10.91 juta di kawasan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah pada Isnin lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, polis mengesan sebuah kenderaan Mitsubishi Triton dipandu suspek berusia 49 tahun di kawasan Membalua, Batu 10 Tawau pada 7.30 malam hasil maklumat awam.

Polis kemudiannya mengejar suspek hingga Kampung Batu Payung sebelum berjaya menahannya.

“Pemeriksaan awal dalam kenderaan suspek menemui 12 beg berisi 290 bungkusan hijau (bertulis Guanyinwang) mengandungi syabu, selain wang tunai RM5,000,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, polis turut merampas satu senapang angin dan menyita harta milik suspek bernilai RM147,284.57 termasuk wang dalam akaun bank berjumlah RM95,284.57 dan sebuah kenderaan.

Dadah berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran ke daerah itu melalui jalan laut.

Menurutnya, polis masih menyiasat sama ada dadah itu untuk pasaran tempatan atau Tawau hanya dijadikan lokasi transit dadah.

“Polis juga menyiasat dan akan menjejaki saki-baki kumpulan berkait rapat kes ini. Jika ada, polis Sabah juga meminta bantuan ibu pejabat (Bukit Aman) untuk maklumat berkaitan sindiket dadah yang dibawa masuk dari luar,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari hingga 15 September.

Sementara itu, Idris berkata, polis Sabah menahan 5,174 individu atas pelbagai kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya.

Daripada jumlah itu 550 adalah pengedar dadah yang disiasat bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) serta Seksyen 39A(1).

Beliau berharap orang ramai terus memberikan kerjasama menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah dadah di kawasan masing-masing. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here