USUL undi percaya tidak diletakkan dalam agenda aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bakal bersidang pada bulan ini.
Di dalam aturan urusan mesyuarat Parlimen yang telah diedarkan, antara usul terawal adalah berkenaan pemilihan Timbalan Speaker dan cadangan daripada Menteri Dalam Negeri.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang mendedahkan perkara ini menerusi ciapan Twitternya pada Selasa, turut memberitahu, soalan pertama pada sidang 14 September ini adalah daripada Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif diikuti Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Usulnya ialah pilih Timbalan Speaker, perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara untuk tidak halang ahli Dewan Rakyat ke Parlimen dan usul menjunjung kasih.
“Tiada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya yang turut berkongsikan aturan urusan mesyuarat yang baru diterimanya itu dalam ciapan tersebut.
Istana Negara pada 18 Ogos lalu dalam kenyataannya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, titah Seri Paduka Baginda itu selaras seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.