Maqis rampas 1,000 ekor lipan hidup

0
203

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan lebih kurang 1,000 ekor lipan hidup di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru, kelmarin.

Menurut Maqis Johor dalam satu kenyataan, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis menemukan lipan hidup itu dalam bungkusan pada jam 1 petang yang dianggarkan bernilai RM1,750 dan cuba dibawa masuk tanpa permit import sah oleh seorang penumpang feri dari Batam, Indonesia.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini,” menurut satu kenyataan, hari ini.

Lipan disembunyikan dalam bungkusan untuk dibawa masuk namun berjaya dikesan pihak Maqis

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak MAQIS menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” tambah kenyataan itu.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here