KPM ambil perhatian cadangan calon SPM

Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperhalusi semua cadangan dikemukakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang akan menduduki peperiksaan itu pada Mac tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata dalam dua sesi libat urus secara dalam talian hari ini, banyak perkara dikongsikan termasuk persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan itu.

“Petang ini saya berkesempatan mengadakan dua sesi libat urus secara dalam talian dengan hampir 100 murid SPM tahun 2021 dari seluruh negara.

“Sesi pertama membabitkan wakil murid sekolah menengah kebangsaan manakala sesi kedua khusus untuk murid berkeperluan khas (MBK),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pertemuan secara maya itu, Radzi berkata, pelajar menyatakan harapan untuk dapat kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat.

“Anak-anak yang terbabit dalam perbincangan tadi begitu teruja berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam tempoh yang mencabar ini, termasuk persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan SPM pada Mac tahun hadapan.

“Tidak kurang juga yang memberikan pelbagai pandangan dan cadangan bagaimana untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran sedia ada,” katanya.

Beliau turut tersentuh dengan perkongsian daripada pelajar MBK yang menunjukkan kesungguhan untuk mengikuti pengajian dalam situasi mencabar disebabkan pandemik COVID-19.

“Anak-anak MBK ini tidak pernah jemu untuk mengikuti pembelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

“Insya-Allah, semua cadangan akan diteliti dan perhalusi. Semoga semua anak-anak yang bakal menduduki SPM 2021 terus bersemangat untuk membuat persediaan sebaiknya.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Bulan lalu, Radzi mengumumkan pembukaan sesi persekolahan bersemuka pada 3 Oktober ini, dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas membabitkan peperiksaan.