SEJAK petang semalam, tular pelbagai perkongsian di media sosial yang melaporkan sebuah lori dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Antara perkongsian yang mendapat perhatian ramai adalah video yang dikongsikan oleh Romy Irwan Shah, di Facebook.
Video tersebut menunjukkan salah seorang mangsa kemalangan terbabit, keluar daripada kereta Perodua Myvi miliknya yang dirempuh lori tersebut, seolah-olah tiada apa yang berlaku, walaupun keretanya remuk sehingga hilang ‘identiti’ kereta.
Video yang berdurasi 22 saat itu membuat netizen terkejut dan hairan dengan keadaan pemandu Myvi terbabit yang hanya mempunyai kecederaan biasa selepas keluar dari kenderaannya, sekali gus menerima sorakan serta tepukan semangat dari orang ramai.
Di perkongsian yang berbeza oleh Aurizn di Facebook, menunjukkan satu patung ‘Spiderman’ di hadapan lori tersebut.
Hasil tinjauan di ruangan komen, ada juga yang sempat berjenaka seolah-olah ‘Spiderman’ yang menyelamatkan pemandu tersebut daripada kecederaan yang teruk.
Bagaimanapun, pemandu lori yang merempuh lima kenderaan semalam, disahkan positif dadah.
Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, lori yang dipandu laju lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua Perodua Myvi dan masing-masing Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL yang berhenti di lampu isyarat merah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata siasatan awal mendapati lori itu dari Jalan Duta menghala ke Sentul.
Menurut Sarifudin dalam satu kenyataan semalam, pemeriksaan mendapati, pemandu lori itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika memandu, namun disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin hasil ujian saringan air kencing. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.