ORANG ramai yang sudah mula mengeluarkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 1 yang disalurkan sejak semalam menyifatkan bantuan berkenaan mampu mengurangkan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
Tinjauan di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Taman Len Sen, Cheras mendapati orang ramai sudah mula hadir bagi menerima bayaran tunai BKC Fasa 1 di kaunter seawal jam 9 pagi.
Rata-rata mereka meluahkan rasa lega dengan BKC yang sedikit sebanyak menampung kos keperluan asas ketika mereka dalam kesempitan kesan daripada wabak COVID-19.
Terdahulu, Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan BKC disalurkan secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 September hingga 10 September ini menerusi institusi perbankan berkaitan.
Pengeluaran wang tunai itu boleh dibuat di semua mesin ATM rangkaian MEPS seluruh negara.
Manakala bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, boleh hadir ke mana-mana cawangan BSN dan hanya perlu membawa kad pengenalan untuk berurusan di kaunter. —SB