Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SINGAPURA mengumumkan langkah kawalan baru semalam untuk memastikan keadaan terkawal susulan
peningkatan dua kali ganda melebihi 1,200 kes Covid-19 mingguan.
Langkah itu bertujuan memberi republik itu masa untuk menyuntik vaksin kepada lebih ramai orang, sekali gus membendung penularan coronavirus tanpa perlu kembali kepada langkah kawalan yang ketat bagi memutuskan rantaian jangkitan.
Menteri Kewangan, Lawrence Wong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) COVID-19 berkata, beberapa strategi sudah di kenal pasti bagi tujuan itu.
“Amaran risiko kesihatan (HRW) dan pemberitahuan risiko kesihatan (HRA) akan dikeluarkan apabila kelompok baru dikesan, di mana sebaik sebuah kelompok dikenal pasti, HRW dan HRA akan dikeluarkan kepada individu yang terdedah untuk membendungnya secepat mungkin.
“Mereka yang menerima HRW wajib mendapatkan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) dan mengasingkan diri sehingga mereka mendapat keputusan negatif daripada ujian pertama mereka.
“Mereka juga akan diminta melakukan ujian pantas antigen (ART) selepas itu, dan satu lagi ujian PCR pada hari ke-14,” katanya.
Tambah Lawrence, mereka yang menerima HRA tidak diwajibkan tetapi digalakkan menjalani ujian PCR secepat mungkin.
Untuk kedua-dua HRW dan HRA, individu harus mengurangkan interaksi sosial mereka selama 14 hari.
Pekerja lebih banyak sektor termasuk kakitangan barisan hadapan, pengangkutan awam dan pekerja pasar raya, kini harus menjalani ujian rutin berjadual pantas secara mandatori.
Ujian sedemikian juga harus dilakukan lebih kerap untuk pekerja terbabit iaitu daripada dua minggu sekali kepada seminggu sekali manakala syarikat dalam sektor tidak wajib menjalani ujian mandatori diberi lapan kit ART bagi setiap pekerja.
Kerajaan akan beri syarikat lapan kit ART bagi setiap pekerja untuk memudahkan ujian kakitangan setiap minggu selama dua bulan dan semua syarikat dijangka dapat memulakan ujian mingguan untuk kakitangan mereka di lokasi.
Ujian itu boleh dilakukan individu di rumah atau di tempat kerja tetapi majikan harus mempunyai proses memastikan ujian dilakukan dengan betul dan melaporkan keputusannya kepada agensi kerajaan masing-masing. – AGENSI
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.