SELEPAS lebih dua bulan berada di Mesir bagi menyertai misi bantuan, aktivis kemanusiaan dan penyanyi rap, Ariz Ramli, 33 tahun, atau lebih dikenali sebagai Caprice, akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air, hari ini.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Caprice menerusi saluran Telegram miliknya MudaUmmah: Welcome To Caprice’s Personal Telegram, pukul 12.30 tengah malam tadi.
“Salam Malaysia! Alhamdulillah selepas dua bulan lebih, ini mungkin perjalanan paling gila sejauh ini. Akhirnya saya pulang ke Malaysia.
“Saya mohon maaf kerana lewat, ia memerlukan sedikit masa untuk menyempurnakan bahagian tertentu dalam misi saya,” katanya.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram rasminya, Caprice turut sempat mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan baharunya di Mesir.
Caprice juga berkata, dia akan menjalani kuarantin sebaik sahaja tiba di Malaysia, selama 10 hari sebelum menguruskan beberapa urus niaga yang tertangguh.
“InsyaAllah selepas Caprice sampai Malaysia perlu kuarantin selama 10 hari dan cari staff baru untuk uruskan hoodies. Saya akan hantar hoodies, tasbih dan hadiah dari Palestin kepada pembeli dan ejen InsyaAllah pada 18 September ini,” ujarnya.
Terdahulu, penyanyi rap tersebut mencetuskan kontroversi selepas dipercayai tidak dapat memasuki wilayah Palestin selain memberi teguran kepada pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berhubung misi kemanusiaan serta beberapa lagi isu yang tidak dapat dijelaskan.
Kontroversi berlarutan sehingga membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri sekali gus masing-masing diminta pihak polis untuk memberikan keterangan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.