Tentera Guinea rampas kuasa, tahan Presiden

PASUKAN khas tentera Guinea melancarkan rampasan kuasa, semalam, sekali gus menahan Presiden dan menguatkuasakan darurat tanpa tempoh khusus di negara terletak di barat Afrika ini.

“Selepas menahan Presiden, kami membuat keputusan untuk memansuhkan Perlembagaan,” kata seorang pegawai berpakaian seragam sambil dikelilingi tentera yang memegang senapang, dalam satu rakaman video dihantar kepada AFP.

Menurut pegawai itu, sempadan udara dan darat Guinea turut ditutup, manakala kerajaan telah dibubarkan.

Dalam satu rakaman video terdahulu yang dihantar kepada AFP oleh pasukan itu, Presiden Alpha Conde dilihat duduk di atas sofa dengan dikelilingi tentera.

Pemimpin berusia 83 tahun itu juga dilihat enggan menjawab soalan daripada seorang tentera berkenaan mengenai sama ada beliau telah diberikan layanan buruk.

Junta turut mengumumkan darurat di seluruh negara sehingga ‘dimaklumkan kemudian’, dan akan memanggil barisan menteri dalam Kabinet bawah pentadbiran Conde.

“Mereka yang enggan hadir akan dianggap sebagai pemberontakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, katanya, jawatan Gabenor dan pentadbir utama di negara ini akan diambil alih oleh tentera. – AGENSI