PEGUAM dan aktivis masyarakat, Siti Kasim, hari ini memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Ia susulan tuduhannya yang menyatakan Naib Presiden PAS itu memakai jam tangan mewah jenama Rolex menerusi satu ciapan di Twitter baru-baru ini.
“Minta maaf Ustaz sebab saya memang salah,” kata Siti Kasim menerusi Twitternya hari ini.
Sebelum ini, Siti Kasim mempersoalkan jenama jam tangan digunakan Idris dan mendakwa jam berkenaan berjenama Rolex dan Idris terus menafikan dakwaan tersebut.
“Khabarnya dia sekarang adalah seorang Menteri Agama. Menunaikan solat di atas lantai dalam pejabat di mana saja dia pergi.
“Dia juga cuma memakai tanda nama bertulisan Jawi. Bukan BM (Bahasa Melayu). Tapi, lihatlah jam tangan emas berjenama Rolex dipakainya,” menurut ciapan aktivis itu.
Melalui hantaran di laman Facebook, Idris menjelaskan, jam tangan seperti dalam gambar tular sebelum ini adalah jam tangan yang sudah lama beliau gunakan.
“Untuk pengetahuan, jam Buruj ini lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat.
“Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.