JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan gantian dokumen penting secara percuma kepada mangsa banjir di Yan, Kedah termasuk Lesen Memandu Malaysia (LLM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) .
Menurut ciapan JPJ di Twitter, gantian dokumen menerusi inisiatif “touch point” jabatan itu khas untuk semua mangsa banjir di lokaliti tersebut yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen penting berkenaan semasa bencana itu melanda.
Katanya, inisiatif berkenaan akan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 18 September.
“Pemilik dokumen harus membuat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen dan perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana kaunter JPJ negeri atau cawangan di Kedah,” katanya.
JPJ juga akan memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan kepada mangsa banjir sehingga bencana itu terkawal sepenuhnya.
“Bagi menyokong usaha kerajaan menangani fenomena banjir di kawasan terkesan ini juga, JPJ akan selalu bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk tenaga manusia atau dalam mengatur gerak aset JPJ jika diperlukan.
“Pihak JPJ dan seluruh warga kerja juga mendoakan agar semua mangsa banjir diberi kekuatan dan dipermudahkan dalam segala urusan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.