68 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

SEBANYAK 68.0 peratus atau 15,926,601 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, 36,431,562 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.

Menurut JKJAV, 20,543,016 individu di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino. 

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 289,958 dos dengan 136,177 daripadanya merupakan dos pertama daripada vaksin dua dos manakala 153,541 adalah dos lengkap.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara. – SB