PELANTIKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dapat meneruskan pelaksanaan dasar untuk memulihkan Malaysia daripada COVID-19 yang sudah dirancang awal ketika bekas Perdana Menteri itu mentadbir negara.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pelantikan tersebut merupakan satu langkah tepat memandangkan pengalaman Muhyiddin semasa menerajui kerajaan selama 17 bulan menghadapi pandemik Covid-19.
“Kelebihan yang Muhyiddin Yassin ada ialah pengalaman beliau yang sudah biasa dgn ahli majlis MPN.
“Beliau juga boleh lihat kembali apa-apa kelemahan yang berlaku sebelum ini semasa beliau menerajui kerajaan dan mencari jalan alternatif untuk memperbetulkannya,” katanya ketika dihubungi wartawan SatuBerita.
Musa Awang berpendapat, pelantikan itu dapat memulihkan negara lebih-lebih lagi dari segi ekonomi dan memberi cadangan untuk memulihkannya.
Menurut beliau, sektor ekonomi adalah sektor utama yang perlu dipulihkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dengan teruk terutamanya kepada bumiputera.
“Saya sarankan sektor ekonomi dibuka sepenuhnya 100% dengan syarat pekerja yang telah divaksin 2 dos dibenarkan berkerja selama 8 jam.
“Menghadkan 60% atau 80% pekerja memberi kesan kepada peniaga-peniaga untuk memberikan servis yang baik kepada pelanggan, ia juga mendatangkan kesukaran kepada majikan untuk mengira gaji pekerja, caruman KWSP dan sebagainya,” ujarnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.