Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis serah semula kertas siasatan pengawal keselamatan diserang -

Polis serah semula kertas siasatan pengawal keselamatan diserang

POLIS menyerahkan semula kertas siasatan kes pengawal keselamatan yang maut selepas beberapa bulan terlantar akibat diserang penyewa sebuah kondominium di Ipoh, Perak kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedang menunggu arahan bagi sebarang tindakan lanjut selepas mendapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Pihak polis telah merujuk semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak pendakwaan telah memberi beberapa arahan untuk dilengkapkan ekoran berlakunya kematian dalam kes itu.

“Kertas siasatan kemudian telah dikembalikan semula kepada Pejabat Peguam Negara serta menunggu arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai kenyataan pihak tertentu yang meminta polis menahan semula suspek susulan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia, beliau berkata, suspek telah menjalani proses siasatan polis termasuk direman sebelum dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan.

Katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu memandangkan ia masih dalam perbicaraan serta mempercayai sistem kehakiman dan keadilan negara.

Mior Faridalathrash turut menegaskan bahawa polis tidak pernah menggunakan perkataan ‘doublejeopardy’ atau pendakwaan dua kali dalam sebarang kenyataan berkaitan kes itu seperti dilaporkan beberapa portal dan media sosial.

“Kenyataan tersebut sangat tidak tepat, mengelirukan dan seolah-olah ia dikeluarkan oleh pihak polis,” katanya.

Pada 27 Ogos lalu, mendiang S. Thava Sagayam, 64, meninggal dunia selepas lama terlantar sakit berikutan diserang seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana mendiang dikatakan cuba menghalang anak lelaki itu daripada menggunakan kolam renang di sebuah kondominium yang tidak dibuka kepada orang ramai pada 29 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu kerana mendatangkan kecederaan parah serta kes akan disebut semula pada 9 September ini. – SB