Agong, Permaisuri bangga pencapaian Abdul Latif

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah pencapaian cemerlang Abdul Latif Romly membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Dalam catatan menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua bertitah, ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdul Latif yang menghadiahkan pingat emas ketiga buat negara di Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun semalam.

Seri Paduka berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Abdul Latif turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya para atlet di Malaysia untuk bekerja keras mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara, mahupun di persada antarabangsa.

Selain itu, Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada juara bertahan Rio 2016 itu dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama di
kejohanan akan datang.

Abdul Latif memenangi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan lompatan pertamanya 7.26 meter sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

Pada masa, keluarga Abdul Latif yang menyaksikan siaran langsung acara itu di Perlis turut berkongsi kegembiraan dan rasa bangga dengan pencapaian anak bongsu mereka.

“Saya akan sediakan masakan ayam goreng bila dia kembali nanti. Itu makanan kegemarannya” kata ibunya, Salmah Yatim, 64.

Lebih menyentuh perasaanm, bapanya, Romly Mat, 70, yang bekerja sebagai penoreh getah juga sudah bernazar ingin membotakkan kepalanya jika anak ketujuhnya itu memenangi pingat emas.

Sebaik saja Abdul Latif dinobatkan sebagai juara, Romly menegaskan dia akan membayar nazar membotakkan kepala dalam tempoh beberapa hari ini.

Kejayaan Abdul Latif itu menyaksikan kontinjen Malaysia mengumpul tiga pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo selepas emas pertama diraih dalam acara angkat berat, disusuli acara perseorangan badminton lelaki. – SB