Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muhyiddin laksana tugas Pengerusi MPN secara sukarela tanpa imbuhan -

Muhyiddin laksana tugas Pengerusi MPN secara sukarela tanpa imbuhan

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Muhyiddin berkata, beliau dan anggota MPN akan berperanan membantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, ia termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), memudah cara pembukaan sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

“Kepercayaan diberikan kerajaan ini suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan jemaah menteri pada mesyuaratnya 1 September lalu bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri atas pelantikannya.

Beliau turut berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikannya.

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup serta memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” katanya.