APA beza antara daging khinzir dan rasuah. Kedua-duanya haram dan perlu dijauhi semua orang khususnya umat Islam.
Itulah peringatan dan perbandingan yang diberikan oleh Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay kepada para anggota polis dalam mengulas isu rasuah dalam pasukan itu.
Bercakap dalam wawancara bersama Astro Awani baru-baru ini, Ayob Khan berkata, tidak masuk akal apabila anggota polis yang makan rasuah terutamanya yang beragama Islam jijik hatta melihat daging khinzir tetapi tidak berasa sama pada rasuah yang jauh lebih teruk.
“(Pengamal rasuah) boleh cakap daging khinzir ni haram, nak tengok pun tak boleh, tetapi rasuah okay. Daging khinzir ini dalam keadaan darurat kita boleh makan untuk terus hidup, saya ulang ketika darurat sahaja. Tetapi rasuah dalam apa jua keadaan pun, kita tak boleh makan, betapa jijiknya rasuah ini.
“Saya buat perbandingan macam itu dah cukup, kalau kita tak faham lagi, kalau kita tak tengok jijik lagi rasuah ini, saya tak tahu apa lagi perumpamaan yang boleh saya bagi. Itu saja pesanan saya,” katanya.
Amalan rasuah, tegas beliau bukan kerana gaji dan elaun rendah, sebaliknya disebabkan gaya hidup dan nafsu seseorang.
“Untuk mengatakan mereka mengambil rasuah kerana gaji dan elaun yang rendah, saya tidak setuju. Ia adalah disebabkan nafsu dan ketamakan mereka yang membuatkan mereka menerima rasuah. Kita perlu hidup sesuai dengan gaji kita, ukur baju di badan sendiri,” ujarnya.
Sebagai contoh, katanya, jika gaji RM2,000 sebulan, tidak perlulah tukar telefon bimbit setiap enam bulan sekali dengan gajet mewah yang mencecah harga RM7,000.
Pun begitu, Ayob Khan mengakui gaji anggota polis perlu dikaji semula kerana apa yang dibayar ketika ini perlu diseimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup.
Sebagai contoh, kadar sewa di Johor untuk rumah yang selesa adalah sekitar RM1,000 sebulan tetapi elaun perumahan anggota polis hanya RM300 untuk lain-lain pangkat dan RM450 untuk pegawai, kata beliau.
Katanya, jurang itu besar dan membawa kesukaran tersendiri kepada anggota polis sekeluarga.
Perhatian sewajarnya penting diberikan kepada kebajikan anggota polis untuk memastikan prestasi mereka sebagai sebuah pasukan kuat dan cekap.
“Kami tidak meminta bulan dan bintang,” tambahnya.
Pada akhir bicara, Ayob Khan menasihatkan semua anggota polis supaya hidup mengikut kemampuan demi integriti diri dan pasukan polis secara keseluruhan.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.