Selangor benar solat Jumaat di masjid dengan kapasiti 100 jemaah

SERAMAI 100 orang jemaah termasuk pentadbir dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat di semua masjid di Selangor berkuat kuasa mulai solat Subuh pagi tadi.

Menerusi satu hantaran di Facebook Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, syarat baharu itu turut membenarkan 50 orang jemaah termasuk pentadbir melaksanakan solat Jumaat di surau kebenaran solat Jumaat, manakala Surau Kariah dan musollla tidak dibenarkan.

Zawawi turut memaklumkan bahawa solat lima waktu di surau kebenaran solat Jumaat dan kariah serta musolla dibenarkan menerusi ketetapan baharu berkenaan dengan kapasiti 50 orang jemaah termasuk pentadbir di masjid.

“Syarat jemaah (hanya kepada) ahli kariah (lengkap dua dos) yang tinggal dalam kariah (penduduk setempat) dan melaksanakan kaedah penggiliran jika jemaah lengkap dua dos melebihi kapasiti yang dibenarkan.

“Sehubungan pelaksanaan ketetapan bilangan jemaah terbaharu itu, semua aktiviti pengimarahan termasuk kuliah, ceramah, tazkirah boleh dilaksanakan secara dalam talian dari kediaman penceramah,” katanya.

Tambahnya, akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam hendaklah terus disediakan.

Dalam pada itu, Zawawi turut memaklumkan bahawa pengurusan jenazah bukan COVID-19 di masjid dan surau dibenarkan dengan syarat kehadiran ahli kariah atau kaum kerabat terdekat tidak boleh melebihi 20 orang, manakala tidak melebihi enam orang bagi jawatankuasa masjid atau surau yang akan menguruskan jenazah. –SB