Rakyat dijemput kongsi idea untuk Bajet 2022

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) telah menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) sebagai pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan 31 Ogos lalu dalam usaha untuk menambahbaik ketelusan dan keterangkuman di dalam proses penyediaan bajet tahunan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, empat Kertas Konsultasi Awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input kepada Bajet 2022 sebagai langkah permulaan.

Katanya, KKA yang pertama adalah Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan Berkaitan Barangan/ Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera, yang menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan atau perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat Bumiputera.

Perkara itu antara lainnya adalah bagi melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

KKA yang kedua adalah Penambahbaikan Program Bantuan Tunai, bagi mengenalpasti masalah, keperluan, kaedah yang berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat khususnya dalam situasi yang mencabar akibat penularan COVID-19.

Manakala yang ketiga adalah Kajian Insentif Cukai, yang merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh bagi memanstikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan.

KKA ketiga itu turut bertujuan untuk meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara.

Bagi KKA keempat pula, adalah Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA), yang bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

Menurut Tengku Zafrul, MOF yakin dengan penerbitan KKA buat kali pertama ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara.

Sehubungan itu, soalan atau keperluan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected].

Manakala KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my. selewat-lewatnya pada 5.00 petang, 15 September 2021–SB