Mangsa banjir Kedah dikecualikan bayaran baharui cukai jalan

PENGECUALIAN untuk membayar yuran penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia akan diberikan kepada mangsa traged banjir di Yan dan Merbok Kedah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang berkata, pengecualian bayaran itu adalah bagi lesen yang hilang dan cukai jalan yang rosak akibat bencana banjir.

“Kita sampaikan rasa simpati kepada mangsa banjir di Yan dan Merbok dan banyak aduan diterima mengenai kehilangan, kerosakan lesen dan sebagainya.

“Jadi, pihak pengurusan Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran gantian khas bagi penduduk di Yan dan Merbok yang terkesan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, mangsa banjir yang ingin mendapatkan pengecualian tersebut perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan dokumen sebelum berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Ka Siong, beliau juga telah memaklumkan arahan pengecualian berkenaan kepada kaunter cawangan JPJ berhampiran Yan dan Merbok.

JPJ menetapkan kadar bayaran bagi penggantian lesen memandu ialah RM20, bayaran salinan cukai jalan bagi motosikal (RM20) dan kereta (RM50).

Pada 18 Ogos lepas, fenomena kepala air dari Gunung Jerai telah meragut enam nyawa dan ratusan penduduk dari beberapa kampung di Yan dilanda banjir lumpur yang turut menjejaskan kawasan Merbok di daerah Kuala Muda.–SB