Laporan transformasi Parlimen akan dihantar ke kabinet

LAPORAN mengenai transformasi Parlimen akan diserahkan kepada Kabinet tidak lama lagi untuk disahkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementeriannya juga akan dibentuk untuk memastikan pelbagai cadangan yang dibincangkan mengenai perkara itu dapat dilaksanakan segera sebagaimana telah dipersetujui dalam perbincangan selama 90 minit bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Khamis.

“Dengan sukacita saya maklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menerima cadangan itu secara positif dan sebenarnya, bersedia memainkan peranan utama dalam mentransformasi Parlimen kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan, tiga perkara utama yang dibincangkan adalah untuk menghidupkan atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen, cadangan untuk mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988) dan perbincangan mengenai lebih banyak pindaan terhadap Peraturan-peraturan dan Peritah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedia ada.

Menjelas lanjut mengenai perbincangan pindaan Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedia ada, Wan Junaidi berkata langkah itu amat penting agar selari dengan penggubalan undang-undang baharu yang dicadangkan dan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen. – Bernama