Kurang sesuai perkenal cukai baharu pada masa ini -Tengku Zafrul

PELAKSANAAN cukai baharu termasuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat kurang sesuai buat masa ini dan tumpuan kerajaan kini adalah untuk memulihkan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata apa yang penting ketika ini adalah memulihkan semula ekonomi dan pengenalan cukai baharu akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi.

“Kami (Kementerian Kewangan) telah membentuk jawatankuasa untuk meninjau cara meningkatkan hasil dan meninjau langkah untuk mengurangkan ketirisan hasil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST dan cukai baharu untuk meningkatkan hasil kerajaan.

Bagi 2021, sasaran kutipan hasil cukai adalah berjumlah RM162.1 bilion, yang mana 10.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang mana ia merangkumi kutipan cukai langsung sebanyak RM120.0 bilion dan cukai tidak langsung sebanyak RM42.1 bilion.

Namun, sehingga Julai 2021, kutipan cukai langsung adalah sebanyak RM67.4 bilion atau 56.2 peratus daripada sasaran, manakala cukai tidak langsung mencatat kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59 peratus daripada sasaran.

Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain menyebabkan pertambahan mereka yang kehilangan pendapatan.

Mengulas sama ada kerajaan akan mengurangkan cukai korporat, Tengku Zafrul berkata, buat masa ini kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, apa yang penting bagi kerajaan adalah memperluaskan asas cukai sebelum boleh mengurangkan cukai korporat.

Cukai korporat di Malaysia ketika ini ialah pada 24 peratus dan ia adalah antara kadar yang tertinggi di ASEAN berbanding Singapura yang mempunyai kadar terendah pada 17 peratus. – SB