PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keadilan harus ditegakkan dan tiada sesiapa yang terkecuali daripada garis undang-undang.
Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas mengenai kes pengawal keselamatan meninggal dunia setelah hampir setahun terlantar di hospital akibat diserang penyewa sebuah kondominium di Ipoh, Disember lalu.
“Saya sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda keluarga S. Thava Sagayam ini,” kata beliau melalui hantaran balas Twitter kepada ciapan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, hari ini.
Terdahulu, Kulasegaran dalam laman Twitternya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana meluangkan masa untuk bercakap dengan keluarga mendiang Thava Sagayam.

Pada Jumaat lepas, Thava Sagayam, 64, meninggal dunia selepas lama terlantar sakit berikutan diserang seorang oleh penyewa sebuah kondominium pada 29 Dis tahun lalu selepas anaknya dilarang menggunakan kolam renang yang ditutup kerana pandemik COVID-19.

Susulan itu, polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada lelaki yang dipercayai terbabit kejadian itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.