Kelonggaran rentas negeri tak lama lagi – Khairy

PERBINCANGAN kini sedang giat dijalankan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pergerakan rentas negeri diberikan dalam tempoh masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ketika mengesahkan perkara itu, perbincangan berkenaan adalah bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

Pendekatan yang diambil itu kata beliau adalah bagi membolehkan lebih banyak kelonggaran lain diberikan.

KHAIRY JAMALUDDIN

“Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran tertentu) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan yang akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi. Ini kerana kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko, justeru berikan kita tempoh sikit lagi,” jelas beliau pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya hari ini

Selain itu, katanya, kerajaan bertekad untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri-negeri tertentu yang masih merekodkan liputan di bawah paras 60 peratus seperti Sabah, Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

Menurut Khairy, kementeriannya menyasarkan M semua negeri akan mencapai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus menjelang September. – SB