Guna identiti orang lain dapatkan vaksin, wanita Myanmar dipenjara 18 bulan

SEORANG wanita warga Myanmar dihukum penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di Melaka, pada Jumaat selepas mengaku bersalah menggunakan identiti individu lain bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim setelah tertuduh, That That Mar, 27, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati memperdayakan seorang doktor dan jururawat dengan menggunakan pasport milik Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.

Tindakan itu dilakukan pada 28 Julai dan 18 Ogos lalu di sebuah klinik swasta di Taman Cheng Perdana.

Pertuduhan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Tertuduh yang telah menetap di negara ini selama empat tahun didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2000).

Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan maksima enam sebatan.–SB