Bukit Aman ambil keterangan ‘Sittah Annur’

SEORANG wanita yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) telah diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia, di kediamannya di Selangor, semalam.

Menurut sumber, selain wanita yang dikenali sebagai ‘Sittah Annur’ itu, suaminya dan pengikut-pengikut rapatnya turut dirakam percakapan dan keterangan bagi meneliti dan memastikan kebenaran pelbagai dakwaan yang dibuatnya.

“Namun, adalah jelas bahawa tindakan beliau ini telah menimbulkan kegusaran umum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam serta boleh dikenakan tindakan keras di bawah undang-undang yang berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya setakat ini, perhubungan wanita itu dengan para pengikutnya adalah secara maya (melalui media sosial) dan tiada pertemuan secara fizikal.

Sumber turut berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti sebenar Sittah Annur dan pergerakannya sedang dipantau.

Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab. Jalar turut mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan boleh meramal masa depan.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan isu dan kegiatan wanita berkenaan masih dalam kawalan dan PDRM tidak boleh terburu-buru ketika melakukan siasatan kerana perlu mengumpul maklumat lengkap serta siasatan yang melibatkan jabatan lain termasuk jabatan agama Islam. –SB