Berkongsi pandangan demi anak-anak Johor

PENYANYI lagu parodi berjudul My Sejahtera My Way yang tular di media sosial sehingga ‘diburu’ oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Azman Naim selesai menghadap baginda apabila berkongsi sekeping gambar menerusi akaun Instagram peribadinya, semalam.

Ketika dihubungi SatuBerita hari ini, Azman atau nama sebenarnya Mohd Nur Azman Naim akui tidak gementar sebelum menghadap TMJ.

“Saya nak kata saya gementar tu tiada, cuma saya tertanya-tanya sebelum ini kenapa TMJ ingin bertemu dengan saya. Tapi sebelum itu memang sudah ada perbincangan tentang tujuan pertemuan tersebut, jadi saya relaks sahaja,” katanya.

Katanya, gambar yang dikongsikan semalam itu merupakan gambar ketika dirinya menghadap TMJ buat kali kedua pada 30 Ogos.

“Sebenarnya saya menghadap TMJ beberapa kali, gambar semalam saya itu adalah ketika saya menghadap baginda buat kali kedua pada 30 Ogos, buat kali ketiga pula saya menghadap baginda pada 31 Ogos,” katanya lagi.

Menurut lelaki yang berasal dari Kulai Johor itu, intipati pertemuannya bersama TMJ di Stadium Sultan Ibrahim itu adalah perkongsian pendapat berkenaan dengan keadaan semasa serta hasrat dan harapan TMJ buat anak-anak Johor.

“TMJ berkongsi kepada saya bahawa baginda sedang memfokuskan untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak Johor dan menjadikan negeri Johor sebagai ‘Economy Power House’ di Malaysia,” ujarnya.

Azman turut menyatakan bahawa dirinya belum menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sepertimana yang dititahkan oleh TMJ sebelum ini.

“Kalau mengikut perancangan awal, saya akan menghadap Tuanku Sultan Ibrahim, tapi buat masa sekarang, saya tunggu sahaja. Kalau Tuanku panggil menghadap, saya akan pergi,” katanya.

Terdahulu, TMJ menyempurnakan permintaan ayahanda baginda, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar susulan sebuah video nyanyian semula ‘My Way’ dendangan Frank Sinatra yang dimuat naik Azman dalam Instagram.

Menyedari TMJ sedang mencarinya, Azman turut memberikan maklum balas dengan menulis ‘Menjunjung Kasih Tuanku’.

Azman yang juga seorang usahawan cukup popular di media sosial dengan nyanyian parodi lagu-lagu terkenal yang diolah lirik ke Bahasa Melayu yang mengetengahkan isu semasa dilalui masyarakat yang sedang berperang dengan krisis pandemik COVID-19.sebagai tema.

Lagu ‘My Way’ ditukar judul kepada ‘My Sejahtera Way’ yang dimuat naik sejak 24 Ogos lalu menjurus kepada keluhan orang ramai belum mendapat suntikan vaksin COVID-19.—SB.