KREATIF dan bergaya. Itulah yang boleh dikatakan mengenai Muhammad Safwan Subry, 35, yang berjaya mencuri tumpuan ramai dengan menjual kopi menggunakan sebuah kereta Volvo 240 GL yang diubahsuai.
Apa yang menjadikan perniagaan Kaffeine Nitro Cold Brew ini menarik ialah semua proses penyediaan kopinya itu dibuat sepenuhnya di kenderaan yang diubahsuai menjadi kafe bergerak itu.
“Pada awalnya saya berniaga menggunakan trak namun disebabkan PKP dan orang ramai tidak boleh dine in, maka saya terpaksa fikirkan idea untuk berniaga di tepi jalan.
“Tiba-tiba saya dapat idea untuk membeli Volvo 240 GL dan diubah suai menjadi kedai kopi bergerak kerana ruang but yang luas untuk meletakkan enam tong ‘keg’ kopi di dalamnya,” katanya selepas dihubungi wartawan SatuBerita.
Safwan juga berkata, bahawa dia memilih kereta tersebut kerana minatnya terhadap kereta-kereta lama.
Menurutnya, kereta tersebut juga telah diubahsuai sendiri supaya dapat digunakan untuk berniaga di tepi jalan.
“Boleh dikatakan 90% pengubahsuaian kereta itu dibuat sendiri termasuklah cat kereta tetapi kerja-kerja kimpalan dilakukkan oleh kawan saya,” katanya.
Safwan juga menyatakan bahawa tiada sebarang modifikasi dilakukan pada bahagian dalaman enjin kereta itu untuk memastikan kereta sentiasa dalam keadaan baik .
Walau bagaimanapun, Safwan turut berkata bahawa dia bukanlah mekanik tetapi beliau minat dengan kerja-kerja pengubahsaian.
Selain itu, beliau juga berhasrat untuk membuka cawangan kopi tersebut di setiap negeri dengan menggunakan kereta-kereta yang berlainan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.